Diam tak diam dah hampir seminggu kita berpuasa. Alhamdulillah. Masih diberi kekuatan untuk meneruskan jihad zahir dan batin. Sekadar mengingatkan diri yang lupa: Teruskan juang dalam Ramadhan Mubarak ini. Keberkatan, maghfirah dan keampunan Tuhan berganda, jadi..usah lepaskan ia. Apa lagi yang nak kita kutip sebagai hamba jika bukan keampunan Tuhan..
Bertemu seorang sahabat lama sewaktu di Munshi dahulu, manis dia berhijab labuh tapi masih bernas dan petah dalam kata-kata. Kami bualkan tentang dunia Mahasiswa zaman sekarang. Aduhai, memang panjang isunya. Terbaru tentang MPP di setiap IPT. Keduanya, tentang pembangunan mahasiswa, kebajikan, intelektual. Ada juga keluar isu Murtad, isu boikot konsert yang kureng ilmiah :)
Segalanya tentang aku, sahabat itu dan semua kita siswa-siswi kampus. Sahabat itu nampaknya lebih ke depan dari aku dengan isu kebangkitan dan kejatuhan saf kepimpinan pelajar di kampusnya. Bab yang lebih menarik adalah tentang isu da'wah.
Bila sahabat itu menyentuh tentang da'wah, isu yang cuba dibawa dalam perbualan kami adalah tentang tanggungjawab kita sebagai seorang Muslim. Apa yang kita telah dan patut buat. Dia tambah, bila kita menyebut kalimah syahadah (Lailahaillallah) maka itu dah menjadi satu ikrar bahawa kita memegang amanah untuk menjalankan da'wah dan menyebarkan agama Tuhan yang mutlak. Aku fikir...
Ah, kita selalu merendah diri dengan mengatakan kita belum cukup syarat untuk mengatakan yang baik atau berda'wah. Kita takut dikatakan hipokrit. "Nak tegur orang, awak pun tak betul"
Aku masih ingat apa yang dikata dalam buku Prof Abdullah Hassan. Beliau menyatakan bahawa kita tak perlu tunggu ilmu penuh di dada, kemudian baru nak da'wah..ehmm!
Nak tunggu kiamat datang kah?
Beginilah, aku bukan nak mengusul apa-apa atau mencanang resolusi yang hakiki. Cumanya, aku lebih suka membawa satu anjakan paradigma pada isu da'wah ni. Dari sudut kefasilitatoran sebagai contoh, aku tak nafikan yang kebanyakan fasi yang ada memang berlagak baik depan adik-adik padahal mereka buat juga perkara-perkara yang bukan-bukan. Suruh jaga masa, fasi pun tak jaga masa. Suruh belajar rerajin, kadang fasi sendiri main-main kat kampus.
Aduhai...banyak yang lemah dan kurang. Tapi...
Sifat insan kamil itu sendiri perlu dibentuk. Insan kamil?? Insan sempurna lah :)
Jika kita nak ikutkan keperibadian dan hakikat diri, ahh..memang manusia itu banyak lemahnya. Cuma yang ada sekarang adalah kesedaran untuk menyeru pada kebaikan. Yang mana suka, mungkin menggunakan bidang fasilitator sebagai wadah untuk menyampaikan ilmu dan pengalaman yang baik buat adik-adik yang masih belum nampak dunia luar, walau ilmu belum kebal di dada.
Tiada istilah hipokrit.
Bila aku cakap tiada, maka aku nak nyatakan bahawa segala apa yang diberi untuk motivasi dan pengisian itu diharapkan dapat dikembalikan kepada diri seorang fasilitator tadi. Yelah, malu lah jika bagi kat orang tapi sendiri tak amal. Kembali pada kalam Tuhan pada ayat 2 dan 3 dari Surah As- Saf.
"Kita berani cakap tapi tak buat??"
InsyaAllah..moga apa yang disampaikan pada orang lain tu, terkesan juga pada diri sendiri. Itu bidang fasilitator. Satu bidang yang aku cukup cintai. Tempat aku cari ilmu dan pengalaman, sambil belajar meng'edit' diri yang sebenarnya belum sempurna :)
Bukan mudah untuk menjadi sempurna. Nak tunggu jadi sempurna baru nak berda'wah..aduhai, entahkan bila. Jadi, sementara ada masa, ada kelebihan dari segi apa pun..kita cuba lah guna untuk sampaikan pada orang lain. Skop da'wah ni cukup luas kan?? Bukan sahaja mengajak kebaikan tapi menghalang kemungkaran. Jika nak sebar yang elok tapi yang mungkar terus berkembang..tak lut juga. Jadi, kemungkaran perlu juga dibanteras sama.
Ini tanggungjawab semua. Khulasahnya, tanggungjawab ini adalah mutlak pada setiap individu Muslim.
Jangan takut, nasihat itu kan da'wah. Buat kebaikan pun da'wah walaupun tanpa berkata-kata. Sebarkan kebaikan dan pesanan kepada orang lain. Jika kita tahu yang ada duri di hadapan, mengapa kita tak beritahu orang yang akan lalui jalan itu, kan? Minta dia berhati-hati sebab kita dah lalu jalan itu tadi:)
Moga Tuhan mudahkan jalannya. Dan..jaga lah nawaitu sebaiknya.
Berpisah dengan sahabat itu. Dia turun di UPM, dengan salam dan senyum. Moga kami akan bersua kembali dan terus mengalunkan fikrah bersama :)
No comments:
Post a Comment